Sunday 3 January 2016

Pelan Khas Tangani Isu Bauksit Pahang.


Isu Bauksit Pahang - Penyelesaian Sedang Di Lakukan.



Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC) kini menyediakan satu pelan khas bagi mengatasi masalah pencemaran alam sekitar di Kuantan akibat aktiviti melombong bauksit.

Menyatakan demikian, Ketua Pegawai Operasi KPC, Datuk Khasbullah A Kadir berkata memandangkan saiz projek yang besar, usaha itu akan memakan masa.

Dengan terlaksananya pelan itu, kata beliau, pihaknya yakin proses pengendalian pengeksportan bauksit di kawasan pelabuhan akan lebih bersih antara 60 hingga 80 peratus berbanding sekarang.

“Ini semua dijangka dapat direalisasikan menjelang pertengahan tahun ini,” katanya kepada pemberita .Kuantan semalam.

Di samping itu, katanya, KPC membelanjakan RM1 juta sebulan bagi membersihkan sisa bauksit di kawasan pelabuhan.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam berhubung kawasan penyimpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan tidak diuruskan dengan baik menyebabkan air Sungai Balok dan Pantai Batu Hitam tercemar dan menjadi merah minggu lepas.

Keadaan itu telah menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk setempat dan mengancam mata pencarian nelayan.

Persatuan pencinta alam sekitar meminta kerajaan menghentikan kegiatan perlombongan tersebut.

Mengulas mengenai pencemaran luas baru-baru ini, Datuk Khasbullah berkata apabila hujan lebat, kegiatan pembersihan menggunakan mesin khas tidak dapat dilakukan.

Pekerja pembersihan pelabuhan, hanya dapat menyodok bahan tersebut di atas jalan raya untuk tidak mencemar alam sekitar.

“Ketika hujan lebat baru-baru ini, kami tidak mampu halang bahan ini daripada mengalir keluar.

“Tambahan pula jumlah bauksit yang perlu kami kendalikan adalah sangat banyak manakala timbunan bauksit tidak diletakkan setempat,” katanya.

Prosedur pada masa ini, katanya, menyukarkan pihak pelabuhan mengawal kejadian pencemaran.

Beliau meminta kerajaan negeri menyediakan satu kawasan khas untuk penyimpanan timbunan bauksit bagi memudahkan pihak pelabuhan mengendalikannya dengan lebih baik dan sistematik.

Kawasan itu difahamkan telahpun dikenalpasti dan hanya menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak sebelum ini menyatakan pihak pelabuhan telah mengambil empat langkah bagi mengatasi masalah pencemaran.

Antara langkah ialah membina struktur penghalang aliran keluar air dari kawasan penyimpanan stok bauksit.

No comments:

Post a Comment