Thursday 11 August 2016

Taman Bandar Raub Bakal Jadi Mangsa Keuntungan Pemaju Projek - Wakil Rakyat Hanya 'Mampu' Lihat?







UTAMAKAN KEUNTUNGAN PEMAJU PROJEK DAN KORBANKAN KEPENTINGAN RAKYAT- TAMAN BANDAR RAUB BAKAL DIMANGSAKAN?

Kerajaan sentiasa mengutamakan keselesaan rakyat dengan kelestarian alam semulajadi serta menjaga keseimbangan antara kemajuan tanpa merosakkan alam sekitar yang sedia ada. Namun demikian sikap rakus manusia yang hanya berpaksi kepada keuntungan tanpa mengambil kira kerosakkan terhadap kehidupan sekeliling semakin berleluasa kebelakangan ini. Pencemaran yang sering terjadi mungkin kelihatan kecil pada awalnya namun bakal mengundang malapetaka bila bumi sudah tidak mampu berkompromi dengan kemajuan yang dilakukan tanpa sekatan.

Dalam membangunkan daerah Raub, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diberikan kuasa adalah Majlis Daerah Raub (MDR) telah melaksanakan segala rancangan dengan berkala. Namun demikian desas desus pengambilan sebuah taman riadah yang terletak di Jalan Tengku Abdul Samad amat mengejutkan penduduk tempatan. Sesuatu di luar dugaan bagi penduduk Raub jika kawasan riadah tersebut yang merupakan kawasan hijau dalam bandar kecil ini dibangunkan dengan pembinaan perumahan.

Taman Bandar Raub yang terletak berhadapan dengan Hospital Raub bakal mengalami pencemaran dari kesan pembinaan kawasan terbabit yang difahamkan akan bermula pada 1 Oktober 2016. Difahamkan Majlis Daerah Raub tidak dapat melakukan apa apa berkaitan perkara tersebut dan segalanya terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri. Difahamkan dalam mesyuarat bulanan Ahli Majlis Daerah Raub, mereka turut menyatakan bantahan berkenaan projek berkenaan dan bantahan ini telah pun disuarakan namun tidak dipertimbangkan.



Rata rata penduduk setempat yang sering beriadah di kawasan tersebut tidak bersetuju dengan perancangan yang mahu dilakukan berikutan tiada tempat khusus untuk mereka beriadah dengan selesa bersama keluarga selain memikirkan kawasan hijau yang difahamkan berusia lebih dari 100 tahun.  Bagi mereka pembangunan masih boleh diteruskan tetapi bukan di kawasan yang berhampiran dengan penempatan Hospital dan kawasan reakreasi yang mempunyai sejarah tersendiri untuk daerah Raub.

Dalam rangka pembangunan Daerah Raub termaktub beberapa garis panduan bagi pihak MDR ikuti dalam pembangunan daerah yang terkenal dengan jolokan Bandar Emas ini. Rang Undang Undang Kecil PBT MDR juga menggariskan beberapa peraturan yang perlu diikuti sebagai langkah untuk memastikan kelestarian Raub dan alam sekitar. 

Pautan tersebut boleh di akses orang ramai melalui 

http://iplan.kbse.org/workspaces/hafifi/repo_files/repository/repository/rt/1445948928_Jilid%201.pdf

Antara yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Daerah Raub adalah seperti berikut

STRATEGI PEMBANGUNAN ALAM SEKITAR

  • Memelihara kawasan Hutan Simpan Kekal di seluruh kawasan RTD Raub
  • Mengekalkan kawasan pertanian yang bersebelahan Hutan Simpan Kekal
  • Mewujudkan koridor hijau sebagai laluan hidupan liar
  • Menghindarkan pengaliran buangan domestik secara terus ke dalam jasad air
  • Mewujudkan rizab atau koridor sungai sebagai langkah pengukuhan tebing serta pengekalan kepentingan sungai
  • Mewujudkan kawasan perindustrian supaya aktiviti ini lebih tersusun dan mudah di kawal
Antara RU7 MDR pula termaktub

  • Perlaksanaan projek perumahan perlu mengikuti piawaian perancangan, Rancangan Struktur serta kehendak kehendak alam persekitaran. Menyediakan garis panduan perumahan berdasarkan piawaian perancangan sedia ada.


Apa yang dikesalkan adalah pengambilalihan kawasan riadah yang merupakan satu satunya kawasan bagi pengunjung menikmati suasana hijau di daerah Raub dan ini pastinya sesuatu yang sangat menjengkelkan penduduk setempat. Selain Taman Tasik Raub yang berada di bawah selenggaraan JPS Raub, penduduk tempatan tiada kawasan lain bagi melakukan aktiviti sihat bersama keluarga mereka. Malah kemudahan infrastruktur Taman Bandar yang menawarkan tempat permainan kanak kanak menarik minat ibu bapa untuk membawa keluarga ke sana malah keselamatan anak anak juga agak terjamin.

Projek perumahan yang bakal di bina di tanah tersebut pula tidak menawarkan perumahan yang diperlukan golongan kelas pertengahan kerana difahamkan setiap unit bermula dari harga RM500,000.00 dan ke atas. Tidak lojik jika syarikat pembinaan menawarkan unit untuk di miliki penduduk kelas pertengahan dengan harga yang begitu tinggi dan ini pasti mengundang rasa tidak puas hati rakyat kerana tidak mampu membeli apa yang akan dibangunkan kelak. Nilai hartanah tersebut pastinya akan melambung dengan taraf elit yang diletakkan dan ini sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat kepada penduduk Raub sendiri.

Faktor keselamatan juga perlu di ambil kira kontraktor pemaju sebelum menjual hartanah jika kawasan tersebut dimajukan. Sejarah perlombongan emas Raub sejak zaman British sememangnya tidak dinafikan dan Raub wujud di atas terowong terowong emas yang pernah di gali pelombong terdahulu. Difahamkan Taman Bandar turut berada di atas laluan terowong lama emas dan ini merupakan sesuatu yang amat berbahaya jika projek berkenaan diteruskan. Menurut dakwaan penduduk asal Raub, kawasan tersebut pernah meragut nyawa kerana terbolos dalam lubang yang terbentuk kerana laluan terowong emas yang wujud di kawasan tersebut. Jika benar perkara yang di dakwa oleh penduduk lama Raub, maka faktor ini perlu di ambil kira PBT serta kerajaan negeri sebelum sebarang projek dimulakan.

Persoalan menarik berkaitan projek tersebut adalah mengenai kelulusan EIA bila berkaitan sebarang pembangunan yang melibatkan kepentingan alam sekitar dan manusia. Adakah projek berkenaan mendapat kelulusan EIA tanpa sebarang pertimbangan mengenai alam sekitar dan keselamatan manusia? Perlu diingatkan kawasan tersebut merupakan kawasan hijau yang dikatakan berusia lebih 100 tahun dan merupakan satu kerugian bagi pihak tempatan jika benar projek berkenaan diteruskan kerana untuk mewujudkan kawasan hijau memerlukan masa yang agak panjang. Mengapa pihak MDR tidak mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan hijau seperti Taman Tasik Taiping? Perlukah alam hijau dikorbankan hanya untuk mendirikan perumahan elit yang rata rata rakyat hanya 'mampu pandang'?

Adakah kepentingan pemaju projek berkenaan lebih penting daripada kepentingan kesimbangan alam dan penduduk Raub atau hanya bersifat keuntungan yang tidak menyebelahi rakyat? Siapa yang akan bertanggungjawab jika berlaku pencemaran terhadap Hospital serta pesakit jika segala kekotoran terus mencemari kawasan hijau tersebut? Kemana pula penduduk tempatan mahu menghabiskan masa terluang dengan keluarga selepas kehilangan satu satunya kawasan riadah keluarga di Taman Bandar Raub?

Adakah wakil rakyat yang di pilih pengundi hanya mampu melihat sahaja tentangan rakyat terhadap rancangan ini dan tidak mampu berbuat apa apa selepas berjanji akan berkhidmat untuk rakyat? Kemana hilangnya parti politik serta wakil rakyat ketka rakyat memerlukan pembelaan sewajarnya? Mungkin bagi wakil rakyat, suara rakyat ini hanya akan digunakan bila tiba pilihanraya dan selepas berkuasa mereka tidak berguna lagi dan membiarkan segalanya diteruskan demi keuntungan pemaju projek?

Jika nasi sudah menjadi bubur, tiada guna lagi projek berkenaan dihentikan dan ahli politik serta parti parti yang bertanding perlu menghadapi risiko kehilangan sokongan rakyat di saat undian merka diperlukan. Ketika itu mungkin baru wakil rakyat akan berfikir mengenai suara rakyat tempatan dan makan menabur janji baru  untuk berkhidmat kepada rakyat jika diberikan peluang.


No comments:

Post a Comment