Sunday 14 August 2016

Wakil DAP Tidak Peduli Isu Tempatan - Taman Bandar Raub Bakal Hilang Dari Bumi Raub





MANA AHLI PARLIMEN RAUB DAN DUN TRAS KETIKA ISU BERKAITAN KAWASAN MEREKA DIPERKATAKAN RAKYAT?


Pembinaan kawasan perumahan sesebuah bandar sememangnya menjadi agenda kerajaan kepada rakyat dalam memberi keselesaan untuk dinikmati, namun demikian soal keselamatan serta soal strategik dan kemampuan rakyat memiliki kediaman idaman turut perlu dipertimbangkan. Dalam mengejar keuntungan, pihak pemaju juga perlu mengambilkira keselamatan pembeli sesebuah kediaman yang mahu di promosi kepada pembeli.

Daerah Raub tidak ketinggalan apabila kepadatan penduduk kian bertambah dan kediaman untuk dimiliki pula terhad dan ini menjadi masalah kepada penduduk setempat yang masih tiada tempat tinggal milik sendiri. Pembangunan untuk rakyat sememangnya dialu alukan oleh rakyat dan penduduk setempat, namun demikian mereka juga berhati hati dalam memilih kediaman.

Sebuah taman reakreasi yang terletak di Jalan Tengku Abdul Samad, bakal dibangunkan dengan perumahan dan ini merupakan khabar yang mengejutkan. Satu satunya kawasan hijau dalam daerah Raub bakal dihapuskan demi memberi laluan kepada projek 'Perumahan Elit' yang belum tentu mampu dimiliki orang Raub sendiri. Dalam satu pautan blog, jelas menyatakan bandar Raub sebenarnya berdiri di atas terowong lombong emas tinggalan British dan Taman Bandar merupakan antara laluan utama terowong tersebut. 

 Pautan dari : http://cikguzairol.blogspot.my/2010/04/sejarah-bandar-raub.html

"People found that for every "dulang" of sand there was a handful (raub) of gold" .

Raub menjadi terkenal pada awal abad ke-20 kerana hasil emasnya. Syarikat lombong emas yang mengusahakan perlombongan di daerah ini ialah Raub Australian Gold Mine (R.A.G.M) yang didaftarkan pada 1889 di Queensland, Australia. RAGM juga dikenali sebagai Raub Gold Mine. Pada awalnya syarikat lombong ini dikenali sebagai Australian Syndicate Ltd dan kemudian Australian Gold Mining Co. Ltd pada 1892. RAGM beroperasi sehingga 1961.

Kaedah perlombongan yang dijalankan di daerah Raub adalah kaedah bawah tanah (shaft mining) dan ia dimulakan di Lubang Raub (Raub Hole). Daerah yang terlibat dengan perlombongan emas ialah Bukit Koman dan dipercayai perlombongan telah meliputi kawasan bawah tanah hingga ke bandar Raub. Kawasan bawah tanah antara pekan Bukit Koman dan bandar Raub adalah berlubang dan ini meninggalkan kesan yang buruk kepada pembangunan fizikal bandar. Hingga kini Raub tidak boleh mendirikan bangunan-bangunan tinggi.

Adakah Majlis Daerah Raub bersedia menerima sebarang musibah seandainya projek perumahan yang di jangka bermula pada 1 Oktober 2016? Bantahan awal dari pihak Ahli Majlis dalam mesyuarat Majlis Daerah Raub ternyata tidak dipedulikan demi mengejar keuntungan hasil projek tersebut. Adakah projek berkenaan telah mendapat 'lampu hijau' dari pihak EIA yang bertanggungjawab untuk meluluskan sebarang projek yang berhubungkait dengan alam sekitar?

Perlu diingatkan, Taman Bandar merupakan satu kawasan riadah dan kawasan hijau yang dikatakan berusia 100 tahun dan hanya kerana keuntungan maka tempat tersebut dikorbankan? Pertimbangan wajar juga terhadap soal keselamatan projek berkenaan yang berhadapan dengan risiko 'bolos' ke dalam terowong lombong emas tinggalan zaman British.

Kerajaan negeri juga perlu memandang serius mengenai projek ini yang sebenarnya  menerima bantahan dari penduduk setempat. Pencemaran terhadap kehijauan alam sekitar yang bakal terjadi dengan bermulanya projek itu juga merunsingkan penduduk Raub. Malah jarak Hospital yang tidak sampai 500 meter dari tapak projek akan menerima ancaman pencemaran teruk dari projek berkenaan.

Wakil rakyat perlu memainkan peranan mereka bagi sekurang-kurangnya meminta penangguhan projek berkaitan hingga siasatan berkaitan keselamatan projek dan kesan pencemaran terhadap Hospital, penduduk dan alam sekitar mendapat kelulusan pihak berkuasa dan bukan hanya memikirkan keuntungan pihak pemaju sahaja.


Rakyat yang berharap kepada wakil rakyat untuk menjuarai isu setempat akan menjadi tidak yakin seandainya wakil rakyat tidak mampu berbuat apa apa dalam isu ini. Parlimen Raub yang di kuasai Democratic Action Party (DAP) berserta wakilnya tidak pula tampil dan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu yang menimpa kawasan yang mereka wakili. Malah, janji Dato Ariff Sabri untuk menjadi suara kaum Melayu Raub juga tidak ditunaikan apabila tidak nampak kelibat beliau di Raub semasa isu ini hangat diperkatakan oleh penduduk Raub. ADUN Tras yang juga merupakan wakil DAP juga seperti tidak berfungsi sebagai wakil rakyat bila isu ini terjadi.

Kemanakah mereka ketika rakyat mula sibuk berkira kira untuk membantah projek berkenaan? Adakah suara rakyat serta undian daripada rakyat hanya mereka perlukan ketika Pilihanraya sahaja?

No comments:

Post a Comment