Saturday 22 July 2017

UMNO PERLU PERTAHANKAN KEMENANGAN - HISHAMUDDIN

Semasa perasmian mesyuarat Umno Cameron Highlands, Dato Seri Hishamuddin Hussein meminta seluruh ahli Umno agar fokus untuk kemenangan Barisan Nasional dalam PRU 14. Naib Presiden Umno itu turut mengingatkan perwakilan mesyuarat Umno kali ini agak berbeza kerana keadaan Umno semakin pulih selepas 'Tsunami' keluarnya Timbalan Presiden Umno (Muhyiddin Yassin) dari Umno mengikuti jejak Dr Mahathir.

Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau turut berseloroh mengenai sekeping foto beliau berpegang tangan dengan Ketua Umno Bahagian Cameron Highlands.

"Jangan risau ..saya tidak ke arah itu..saya tidak belajar dengan orang itu (Anwar Ibrahim)" di sambut tawa perwakilan.

Dalam konteks politik di mana kebencian pembangkang menghasut rakyat agar menolak BN, Hishamuddin menegaskan Umno tidak akan bertolak ansur dengan cara pembangkang merosakkan pemikiran pengundi.

" Amanah yang kita pikul bukan ringan, lebih lagi ini negeri kelahiran Presiden Umno kita perlu pertahankan Umno dalam PRU14" - Hishamuddin

Kesetiaan kepada kepimpinan turut di sentuh apabila Hishamuddin mahu semua ahli Umno berada bersama Presiden Umno walau sukar atau senang.

"Dato Onn datuk saya tetapi terpaksa keluar dari Umno kerana di tolak pemikirannya ketika itu yang memahami Umno sendirian tidak mampu memenangi pilihanraya tanpa kerjasama parti yang mewakili kaum minoriti di Malaysia"- Hishamuddin.

Visi Dato Onn kini sudah terbukti kerana BN merupakan satu parti yang diwakili pelbagai parti kaum terbesar di Malaysia.

"Sembrong sebagai contoh kepelbagaian kerjasama kepimpinan dalam BN"- Hishamuddin merujuk kepada Parlimen Sembrong.

Keadaan Timur Tengah turut di rujuk sebagai ancaman kepada Malaysia sekaligus mengingatkan supaya keadaan sama tidak terjadi di Malaysia kerana mengikut hasutan hasutan yang memburukkan politik Malaysia. Sambil menegaskan Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang ancaman keganasan Hishamuddin sempat bercerita pengalaman di Timur Tengah.

Sunday 2 July 2017

MARTABATKAN BAHASA MELAYU - PEMUDA UMNO PAHANG

Berikut adalah kenyataan rasmi Pemuda Umno Pahang berkaitan isu membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

KENYATAAN MEDIA KETUA PEMUDA UMNO PAHANG

Keputusan Kementerian Kesihatan menarik syarat lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 dilihat bercanggah dengan aspirasi rakyat Malaysia yang sepatutnya menjaga dan memelihara kedudukan dan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Ia sekali gus seolah-olah mencabar Perlembagaan Persekutuan di bawah artikel 161 dan artikel 152 yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sekali gus bahasa rasmi dalam urusan kerajaan.

Kita harus sedar, adalah menjadi  tanggungjawab setiap warganegara Malaysia untuk menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan lebih-lebih lagi penjawat awam yang merupakan barisan hadapan kerajaan untuk berkomunikasi dengan masyarakat.

Sekiranya dengan mudah syarat BM dikompromi untuk membolehkan seseorang yang tidak dapat menguasai bahasa kebangsaan bekerja dengan kerajaan walaupun secara kontrak, tidak mustahil satu hari nanti bahasa Melayu sudah tidak lagi dihormati dan hanya menjadi satu bahasa yang bukan sahaja terpinggir, tetapi tidak lagi berguna.

Jika bangsa Cina dan India sekeras-kerasnya mempertahankan sekolah vernakular untuk ‘menjaga’ bahasa ibunda mereka, mengapa dengan mudah kita boleh berkompromi tentang sesuatu yang sangat besar seperti ini?

Sekiranya Kementerian Kesihatan tidak mempertimbangkan dan mengkaji semua keputusan penarikan syarat lulus BM, saya khuatir ini adalah permulaan kepada pelbagai lagi tuntutan untuk menyingkirkan bahasa Melayu sebagai bahasa berdaulat di negara ini.

Pemuda UMNO Pahang membantah keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa perbincangan dengan mana-mana pihak ini kerana ia bukan sahaja mengganggu gugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi mewujudkan 'dwi standard' dalam syarat wajib pengambilan penjawat awam.

Pemuda UMNO Pahang juga menggesa Kementerian Kesihatan menarik balik penarikan syarat lulus BM itu dan mengkaji dengan terperinci kesan dan impaknya kepada semua pihak termasuk masa depan kedudukan bahasa Melayu serta Perlembagaan yang menjadi asas pembentukan negara.

SHAHAR ABDULLAH
Ketua Pemuda UMNO Pahang
2 Julai 2017